KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat 27 tan metrik bernilai hampir RM1 bilion bagi tempoh Januari hingga 30 Nov lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata antara dadah yang paling banyak dirampas adalah syabu sebanyak 7.9 tan dan ephedrine (5.6 tan).

Beliau berkata berdasarkan rekod operasi, kejayaan membanteras sindiket pengedaran dadah terbesar pada tahun ini adalah di Johor dan Pulau Pinang yang menjadi lokasi transit bagi sindiket dadah.

Bagaimanapun, katanya jumlah tangkapan berkaitan dadah pada tahun ini berkurang 13 peratus melibatkan 120,000 orang berbanding 137,738 orang pada 2020.

"PDRM mendapati 30 peratus banduan di Malaysia terlibat dengan dadah dan ini mengurangkan lagi produktiviti negara kerana pihak kerajaan perlu menambah kos pemulihan, penambahbaikan bangunan dan sebagainya," katanya dalam sidang media khas di Kompleks Narkotik Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam pada itu, Razarudin berkata 346 warga PDRM terlibat dengan kes dadah bagi tempoh sama.

Beliau berkata seramai 340 penjawat awam turut terlibat dalam kes berkenaan, selain anggota tentera (104) dan bomba (14).

-- BERNAMA